PETALING JAYA – Kerajaan bakal berdepan kesukaran dalam kemampuan untuk menggubal undang-undang serta memulihkan negara tanpa diganggu-gugat oleh ketidakstabilan politik.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berkata, jika Parlimen perlu dibubar untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi mencapai kestabilan politik segera, maka itulah yang perlu dibuat dahulu.
Perkara itu dibangkitkan setelah usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan suatu seksyen dalam Akta SOSMA dalam undang-undang keselamatan negara gagal melepasi undi bahagi di Dewan Rakyat, semalam.
“Apabila sesuatu usul yang dibawa oleh kerajaan kalah di Parlimen, ia menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat di Parlimen.
“Cadangan saya ialah supaya kita tidak perlu tunggu empat bulan lagi sehingga Julai baru hendak bincang untuk mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isham berkata, kerajaan juga perlu memulihkan ekonomi segera tanpa gangguan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan seperti sekarang akibat mandat yang telah hilang sejak Langkah Sheraton dua tahun lalu.
“Jika keadaan ini berterusan, pelabur-pelabur akan terus menjauhkan diri justeru rakyat akan kekal tidak ada kerja.
“Ketepikan ego dan kepentingan diri serta jawatan dan kembalikan mandat kepada rakyat. Masa ini adalah masa yang kritikal untuk rakyat dan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE