fbpx

‘Buang sifat iblis’ – Nabil tegur pencerca Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK menyebelahi sesiapa susulan kontroversi video babak panas melibatkan Zul, namun Nabil percaya kejadian yang berlaku sebagai tarbiah untuk kita menilai diri sendiri.

PETALING JAYA – Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad melihat kontroversi adegan panas yang tular sejak beberapa hari lalu membabitkan Zul Ariffin sebagai ujian Allah.

Katanya, pada masa sama ia menjadi peringatan buat individu sekeliling yang berterusan menghentam aktor itu supaya membuang sifat iblis di dalam hati mereka.

“Saya melihat ini sebagai ujian buat Zul (Ariffin) kerana Allah akan menguji orang-orang yang beriman. Kita juga seharusnya melihat situasi ini dari perspektif sebegitu.

“Salah memang salah, cuma sebagai muslimin kita patut lebih memperbanyakkan berdoa supaya dia sedar, berbanding terus mencerca macam tiada hari esok atau seperti kita maksum.

“Sebenarnya kita juga kena buang sifat iblis apabila kita terlalu merasakan cuma kita sahaja yang lebih bagus dan betul hinggakan sanggup melemparkan pelbagai kata nista saat insan lain diuji.

“Kita tak sedar bila-bila Allah boleh tarik nikmat. Saya sebenarnya takut tengok (keadaan ini). Dunia sudah akhir zaman,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian restoran HumanGang, semalam.

Nabil yang juga rakan kongsi restoran makanan barat itu bersama tiga rakan termasuk aktor Saharul Ridzwan turut mengakui sedih dengan situasi yang dilihatnya.

Kata pengarah dan penerbit itu lagi, dia bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya percaya segala yang berlaku adalah tarbiah untuk setiap individu kembali menilai diri.

Baginya, apabila dugaan tersebut berlaku di persekitaran sendiri, secara tidak langsung memberi peringatan kepada diri sama ada mahu mendoakan yang baik atau berada di posisi pencerca.

“Ini semua pengajaran serta peringatan supaya lebih baik kita persiapkan diri dan keluarga dengan amal kebajikan daripada menuding jari letakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

“Saya pun tidak katakan perbuatan sebegitu atau kekhilafan dilakukannya tidak salah, tetapi saya teringat kata-kata seorang ustaz yang membuatkan saya bermuhasabah diri.

“’Sebaik-baik aku ada lagi orang yang lebih baik, sejahat-jahat orang, aku lagi jahat. Frasa yang mengingatkan saya jangan terus menghukum kesilapan insan lain,” tambahnya.

Melihat keadaan sekeliling turut membuatkan bapa kepada tiga cahaya mata itu belum merancang meninggalkan dunia seni biarpun semakin aktif mengikuti kerja dakwah menerusi tabligh.

“Bagi saya kalau kita nak dekatkan diri dengan Allah kita tak perlu tinggalkan apa yang kita sedang buat. Maksud saya dalam industri yang saya lakukan sekarang, asalkan jangan lari daripada batas agama.

“Itu perkara paling penting malah dalam setiap program yang saya sertai sama ada menerusi radio mahu pun televisyen saya akan selitkan zikir. Itu paling mudah.

“Jika dengan cara ini saya dapat berkongsi doa dengan orang lain, saya akan teruskan. Inilah medan kita, kita takkan tinggalkan orang lain pada ketika mereka memerlukan kita,” ulasnya.

Terdahulu, Zul mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video dalam Instagram memaparkan beberapa babak panas bersama pelakon baharu, Siti Hariesa dalam drama berjudul Perempuan Itu.

Walaupun adegan yang dikatakan tidak akan disiarkan itu sudah dipadam dan aktor berkenaan sudah membuat permohonan maaf, kontroversi tersebut mendapat perhatian sehingga peringkat kementerian.

Apatah lagi difahamkan drama bersiri Perempuan Itu yang juga terbitan rumah produksi milik Erma Fatima dijadualkan menemui penonton untuk siaran Ramadan nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI