REMBAU – Jabatan Perikanan Negeri Sembilan tahun ini menyasarkan untuk melepaskan kira-kira 300,000 benih ikan air tawar dan udang galah dengan anggaran peruntukan hampir RM50,000 ke perairan umum di negeri ini.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, program pelepasan benih ikan dan udang galah berkenaan adalah membabitkan lokasi sungai yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing seperti di Sungai Kenaboi, di Jelebu, Sungai Muar di Tampin dan juga Sungai Rembau.
Malah menurutnya, program berkenaan juga bertujuan bagi memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat bagi mengelak kepupusan untuk generasi akan datang.
“Tahun lalu hampir 300,000 benih ikan serta udang galah telah kita lepaskan. Tahun ini pula, kita sudah melepaskan kira-kira 65,000 benih ikan iaitu 20,000 di Sungai Kenaboi, Jelebu, manakala, 45,000 lagi benih ikan lampam sungai di Sungai Rembau hari ini dengan melibatkan myKP (Komuniti Perikanan) Sungai Timun.
“Kita akan melaksanakan program ini secara berterusan melalui hasil Kajian Inventori Sungai terutamanya sungai tumpuan seperti di Sungai Kenaboi, di Jelebu, Sungai Muar di Tampin dan juga Sungai Rembau bertujuan untuk memastikan stok ikan darat sentiasa ada di negeri ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara dan Demostrasi Produk Perikanan, di Pangkalan Nelayan Sungai Timun, di sini, pagi tadi. – KOSMO! ONLINE.