PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya mempamerkan rentak positif dibawah kendalian pengendali baharu, Kim Pan-gon selepas menewaskan Filipina 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, Pan-gon membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan jentera serangan pantas yang terdiri daripada Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan Arif Aiman Hanapi.
Corak permainan agresif yang ditampilkan sejurus wisel permulaan bermula membuahkan hasil apabila Akhyar meledak gol pertama seawal minit ke-3 selepas menyudahkan hantaran La’vere Corbin-Ong.
Skuad negara terus ghairah menyerang dengan Syafiq memiliki peluang keemasan berselang dua minit kemudian tetapi rembatan yang dilakukan terkena palang gol.
Penjaga gol Filipina yang juga pemain kelab Birmingham City, Neil Eitheridge tewas buat kali kedua hasil rembatan deras Akhyar yang bijak menyudahkan peluang yang dicipta Syafiq pada minit ke-24.
Akhyar yang juga bintang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir melengkapkan jaringan hatrik pada penghujung babak pertama tetapi peluang ketika situasi satu lawan satu dengan Eitheridge gagal menerjah jaring.
Bersambung pada babak kedua, skuad negara dilihat mengendurkan sedikit corak serangan apabila Pan-gon membuat rombakan dengan memasukkan beberapa pemain gantian seperti Liridon Krasiniqi, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid.
Filipina pula yang hampir mengejutkan benteng pertahanan negara tetapi rembatan yang dilakukan oleh Patrick Reichelt berjaya diselematkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias.
Peluang terbaik skuad Harimau Malaya untuk menambah gol adalah menerusi Safawi tetapi rembatan yang dilakukan sedikit tersasar dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia merekodkan kemenangan pertama ke atas skuad The Azkals selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2007. – KOSMO! ONLINE