SERDANG – Perbuatan seorang wanita membuat laporan palsu mendakwa dia disamun dan dirogol secara bergilir-gilir oleh lima lelaki warga Afrika mengundang padah apabila dia bakal dihadapkan ke mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat wanita berusia 20 tahun itu pada 1 Februari lalu.
“Berdasarkan laporan, dia mendakwa telah disamun dan dirogol ketika berada di tepi jalan SP5/4 Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, dekat sini.
“Lima lelaki warga Afrika didakwa mengambil barang miliknya dan merogolnya secara bergilir-gilir,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pegawai penyiasat kemudiannya menjalankan siasatan dan hasil laporan doktor perubatan menunjukkan tiada kesan rogol berlaku terhadapnya.
“Pada masa sama, dia turut dibawa ke lokasi kejadian namun gagal menunjukkan tempat dan bagaimana kejadian berlaku, malahan gagal mengecam wajah kesemua suspek yang dikatakan terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Jelas beliau, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat keraguan terhadap laporan polis yang dibuat.
Pada peringkat awal siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).
Namun katanya, selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, wanita tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 182 KK kerana disyaki membuat laporan palsu.
Tambah Anbalagan, wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok. – KOSMO! ONLINE