PETALING JAYA – Tindakan seorang guru yang prihatin menyumbangkan satu set lengkap buku latihan kepada seorang pelajar yatim di sekolahnya mendapat perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Cikgu Asraf, dia berkongsi kisah mengenai seorang muridnya yang tidak mempunyai sebarang buku latihan untuk digunakan.
Lebih mengharukan, ketika ditanya mengenai pekerjaan ibu dan bapanya, murid itu memberitahu bahawa bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya pula hanya menjual ulam-ulaman.
“Saya faham situasi ekonomi keluarga ini. Bukan sengaja ibunya tak mahu beli buku latihan tetapi keadaannya buat masa ini tidak begitu mengizinkan.
“Terus saya bergegas ke koperasi untuk beli set lengkap buku latihan untuk murid ini. Selepas tamat sesi persekolahan, saya terus serahkan kepadanya,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Dalam pada itu, Cikgu Asrar turut menasihati supaya guru-guru tidak meletakkan label kepada murid yang tidak membawa buku latihan sebagai indvidu yang malas atau bermasalah.
“Kita perlu kenal pasti punca masalah dahulu kerana setiap keluarga mempunyai kisahnya yang tersendiri,” ujarnya.
Susulan daripada itu, rata-rata orang ramai memuji tindakan guru terbabit serta turut mendoakan agar dipermudahkan segala urusannya sebagai pendidik.
“Alhamdulillah. Terbaik Cikgu. Inilah contoh cikgu yang berjiwa pendidik. Moga Allah selalu merahmati cikgu dan luaskan lagi rezeki cikgu,” kata Mohd Khairul.
“Semoga Allah membuka pintu-pintu kebaikan, rahmat dan mengurniakan pahala berpanjangan serta rezeki barakah yang melimpah buat Cikgu Asraf,” ucap Amin.
“Terima kasih Cikgu Asraf kerana menyelami dan memudahkan urusan anak ni. Semoga Allah membalas kebaikan cikgu dengan ganjaran pahala di akhirat,” ujar Azian. -KOSMO! ONLINE