fbpx

‘Ramai sukar tidur lena takut tanah runtuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanvas yang dipasang di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang bagi mengurangkan risiko runtuhan tanah.

AMPANG – Penduduk perumahan Taman Mega Jaya di sini yang terletak berhampiran kawasan runtuhan di Bukit Permai pada awal bulan ini tetap melahirkan rasa bimbang dengan ancaman tanah runtuh di lokasi terbabit meskipun pakar memaklumkan kediaman mereka masih selamat diduduki.

Pesara kerajaan, Ghafar Abdullah, 61, berkata, penduduk memang menyambut baik pendapat pakar berkenaan, namun jauh di sudut hati masih bimbang dan sukar untuk tidur lena di rumah yang diduduki sejak tahun 1985 itu.

“Pakar lebih tahu apa yang berlaku, namun kami sebagai penduduk tetap ambil langkah waspada sekiranya berlaku sebarang pergerakan bawah tanah.

“Kedudukan rumah saya hanya kira-kira 50 meter dari kawasan runtuhan dan saya dimaklumkan kediaman masih selamat setakat ini ekoran tembok penahan cukup kukuh dan kuat.

“Namun, sejak empat hari lalu saya dah isteri mengambil keputusan tinggal di rumah anak di Aras Sendayan, Seremban, Ne­geri Sembilan sehingga Aidilfitri selepas melihat keadaan cuaca di sini yang tidak menentu,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, ketika ini hanya anak bujangnya tinggal seorang diri di rumah berkenaan, namun dia akan menumpang tidur di rumah seorang abangnya jika berlaku hujan lebat.

“Kebanyakan jiran saya juga akan mengosongkan rumah pada waktu malam lebih-lebih lagi bila berlakunya hujan,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga artis terkenal tanah air, Sabri Yunus berkata, setakat ini dia masih boleh tidur lena kerana kediamannya tidak terjejas.

“Kedudukan rumah saya kira-kira 100 meter dari lokasi bukit yang runtuh. Setakat ini saya dan jiran-jiran masih tinggal di rumah kerana kawasan kami tidak terlibat dalam pemindahan.

“Bagaimanapun, rasa bimbang tetap ada bila fikir sama ada struktur tanah selamat atau tidak. Saya bimbang jika berlaku pergerakan air dalam tanah sebab kita tak nampak,” jelasnya.

Jelas beliau, pihaknya sen­tiasa berwaspada dan akan patuh dengan arahan pihak berkuasa sekiranya dia dan jiran-jiran di­arahkan berpindah,” katanya.

Kosmo! pada 10 Mac lalu me­laporkan mengenai empat mangsa­ yang terkorban dan seorang cedera dalam kejadian tanah­ runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI