fbpx

Apa hadiah untuk rakyat pada PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

FIRMA penyelidikan, CGS-CIMB dalam nota kajiannya bertarikh Selasa lalu mengunjurkan Pilihan Ra­ya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan seawal Ogos ini.

Jangkaan tersebut antara lain mengambil kira pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu PRU-15 hanya diadakan selepas memorandum persefahaman bersama pembangkang tamat pada Julai 2022.

Mungkin ada berpandangan adalah sedikit awal sekiranya PRU-15 diadakan pada tahun ini, namun sedar tak sedar, masuk bulan Mei, sudah genap empat tahun PRU-14 diadakan.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di laman Facebooknya; “Dalam sejarah tak banyak PRU diadakan sehingga hujung penggal lima tahun. Ke­cuali PRU-13 dan PRU-14.

“Paling biasa empat tahun. Pada tahun 1982, PRU hanya tiga tahun lapan bulan selepas PRU1978,” katanya.

Ketika ramai berpandangan tarikh PRU kian hampir, ada yang melihat kehadirannya seakan-akan membawa manfaat besar terutamanya untuk rakyat keba­nyakan.

Mereka merujuk kepada pe­ngumuman satu lagi pengeluaran khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 serta kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Inisiatif ini dikaitkan dengan tanda-tanda PRU hampir tiba.

Bagi Timbalan Presiden Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pandangan sebegitu sukar dielakkan, lebih-lebih lagi apabila pengumuman pelaksa­naan gaji minimum baharu dibuat pada Persidangan Agung UMNO, yang memperlihatkan seperti ada unsur politik.

Menurutnya, pengumuman itu seperti menjurus kepada untuk mendapatkan sokongan rakyat serta mahu menunjukkan kerajaan BN atau UMNO mampu memberi kesan positif kepada masyarakat.

Begitu juga dengan pengelua­ran khas KWSP, ramai melihat kalau bukan disebabkan PRU-15, sukar untuk kerajaan membenarkannya, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah sendiri mengakui langkah itu memberi kesan kepada kemampuan pelaburan KWSP, meskipun sekadar untuk jangka masa pendek.

“Pun begitu, sekiranya kita ingin melihat sama ada PRU-15 ini benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan rak­yat, ia amat bergantung kepada kestabilan kerajaan yang bakal dibentuk.

“Sekiranya kerajaan baharu adalah stabil dan kukuh, ia mampu mengembalikan keyakinan pelabur dan tiada lagi gangguan kepada pelaksanaan dasar yang mampu memberi kelebihan kepada negara dalam jangka masa panjang.

“Misalnya ura-ura pelaksana­an semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang pasti­nya lebih mudah dilakukan sekiranya kerajaan stabil,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Pada masa sama, Ahmed Razman melihat rakyat mungkin ti­dak sepatutnya mengharapkan kerajaan akan mengumumkan pelbagai lagi ‘hadiah’ lain buat mereka menjelang PRU-15.

Ini terutamanya apabila dua permintaan rakyat yang pa­ling popular sejak akhir-akhir ini telah pun ditunaikan kerajaan, manakala tarikh PRU-15 masih belum diketahui.

“Saya rasa tiada lagi hadiah berskala besar daripada kerajaan selepas ini, kalau ada pun insentif-insentif baharu untuk rakyat, ia mungkin akan dima­sukkan dalam manifesto pilihan raya nanti.

“Kalau ada pun mungkin bantuan berbentuk one-off se­­perti Bantuan Keluarga Malaysia,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI