fbpx

Tentera wanita didakwa cederakan anak lelaki guna rotan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya berusia lapan tahun menggunakan rotan Julai lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 31 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penderaan terhadap anak lelakinya berusia lapan tahun dengan merotan pada kedua-dua tangan dan kaki sehingga menyebabkan pelbagai kesan lebam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak di sini, pukul 1 petang pada 21 Julai lalu.

Berikutan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd. Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, ibu dua anak itu yang tidak diwakili peguam, merayu diberikan ikat jamin dengan alasan dia masih bekerja.

“Anak saya ini (mangsa) adalah anak bersama bekas suami, saya mempunyai seorang lagi anak dengan suami baharu. Kejadian berlaku hanya salah faham, anak saya suka buat (kacau) rakan-rakannya,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mangsa diserahkan kepada bapanya sehingga kes selesai.

Tarikh 28 September ini ditetapkan sebutan semula kes. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI