MELAKA – Pelakon dan penyanyi rock tanah air, Datuk Awie mengakui watak Husin yang dimainkannya dalam francais Kampong Pisang termasuk filem dan siri karya Allahyarham Mamat Khalid telah hilang setelah pemergian pengarah tersohor itu, tahun lalu.
Katanya, setakat ini dia masih belum menemui mana-mana pengarah yang memiliki pemikiran dan idea bersifat komik seperti Allahyarham.
“Dia (Mamat Khalid) pergi membawa bersama watak Husin, kalau tidak ada penerajui utama watak-watak ini, maka tidak ada sentuhan itu lagi.
“Saya tidak nampak pengarah mana yang boleh buat, kalau kata anak dia..ia adalah dua benda yang berbeza, saya tidak nampaklah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan lakonannya sebagai Husin dalam siri popular filem komedi Kampong Pisang pada sidang akhbar Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings di Lacrista Hotel, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun dia bersedia memberi peluang kepada mana-mana pengarah yang berani untuk mencuba menghidupkan kembali watak itu.
“Tapi tak tahulah kalau ada yang berani nak mencuba, saya akan melihatkan cara pengarahan macam mana, jangan kami yang penat director senyum sahaja.
“Mamat punya sentuhan itu lain, dia mengarah serius tapi watak saya bawa sebenarnya kelakar, dia twist macam tu..dia memang susah nak baca Mamat Khalid ni..nak dapat pengarah macam tu, dia kena gila dulu,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai adakah beliau akan mengarahkan sendiri watak Husin menerusi syarikat produksinya, Awie hanya membalas dengan nada bergurau.
“Insya-Allah, tunggu arahan pertama saya,” katanya.
Terdahulu, Awie yang memegang watak Husin tampil dalam lapan filem ciptaan Mamat Khalid iaitu Zombi Kampong Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut, Hantu Kak Limah, Kampong Pisang Bersiri-Siri dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.