fbpx

Wanita Indonesia dera bayi dipenjara dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ellis Andreyani ketika diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pengasuh wanita warga Indonesia dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia setahun pada tahun lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ellis Andreyani, 47, membuat pengakuan bersalah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 8 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, Ellis Andreyani didakwa mendera seorang bayi sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh yang berkahwin dengan warga tempatan dan tinggal di negara ini sejak kira-kira tujuh tahun lalu itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taman Utama Persiaran Minden, Gelugor di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan wanita dari Medan itu antara 10 pagi hingga 3 petang pada November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, ketika membuat rayuan ketika di kandang saksi, dia meminta maaf dan menyatakan tidak akan mengulangi tindakan itu selepas mahkamah dipertontonkan dengan video perbuatannya mendera seorang bayi.

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh menampar muka seorang bayi dengan kuat selain menarik tangannya ketika memakaikan baju.

Video itu menerima banyak kecaman daripada netizen, manakala seorang pengguna aplikasi Twitter mendakwa individu yang merakam kejadian itu merupakan anak tiri wanita itu yang berusia 11 tahun dan dikatakan turut didera olehnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI