JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menganggap keputusan pemerintah untuk tidak melaksanakan perintah berkurung Covid-19 di Indonesia telah memberi kesan positif kepada ekonomi negara, lapor saluran berita Liputan6 semalam.
“Ekonomi kita sepanjang 2020 hingga 2021 terus bergerak, malah tidak pernah berhenti. Salah satunya adalah kerana kita tidak melaksanakan lockdown (perintah berkurung Covid-19),’’ kata Jokowi dalam ucaptama sebuah forum yang diadakan secara maya semalam.
Menurut beliau, perkembangan itu akan memudahkan percepatan ekonomi Indonesia pada 2022. Selain itu, Jokowi menyatakan bahawa pemerintah telah berjaya mengawal penularan Covid-19 di Indonesia.
“Kita antara negara yang berjaya menangani penularan ini. Kita boleh mengawal penularan kes Covid-19,’’ jelas beliau.
Jokowi menambah, Indonesia telah memulakan reformasi struktur paling asas dan komprehensif pada 2021, bermula dengan pengenalan Undang-undang Cipta Kerja sehingga tindakan memudahkan birokrasi untuk pelaburan.
Pemerintah Indonesia turut melaksanakan strategi hilirisasi atau penciptaan barang secara besar-besaran pada 2021 dengan menghentikan eksport bahan baku dan mentah. Tambah beliau, Jakarta kini menggalakkan hilirisasi domestik.
“Selangkah demi selangkah hilirisasi akan menjadi lebih tinggi dan meningkat serta akan terus memacu ekonomi dalam mewujudkan peluang pekerjaan dalam negara,’’ jelas beliau. – Agensi