REMBAU – Sikap pihak tidak bertanggungjawab membuat kandungan media sosial aktiviti paranormal di Gunung Datuk dekat sini menimbulkan rasa tidak senang penduduk setempat.
Seorang penduduk Mahat Md. Noh berkata, gunung itu tersimpan sejarah yang berharga bagi adat perpatih negeri itu.
“Kisah sejarahnya tu menjadikan Gunung Datuk cukup istimewa. Jadi apa yang dilakukan oleh kumpulan pencari hantu ini dalam hutan Gunung Datuk ini dibimbangi akan menjadi ikutan pula,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru Chengkau Ulu di sini baru-baru ini.
Terdahulu beberapa kandungan media sosial oleh orang ramai yang mendaki di situ bersifat paranormal menimbul rasa kurang senang penduduk setempat.
Tambah Mahat, yang juga Buapak Delapan Kampung Chengkau/Chembong, puncak Gunung Datuk pernah digunakan untuk mengumpulkan ketua-ketua adat untuk mengisytiharkan gelaran dan Datuk-Datuk Lembaga.
“Kena jaga adab, jangan sewenang-wenangnya naik gunung itu untuk buat kandungan media sosial dan dakwa ada hantu dan sebagainya,” jelas beliau.
Bagi Penyelidik bebas sejarah dan budaya Negeri Sembilan, Mohd. Khairil Hisham Mohd. Ashaari berkata, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu seolah-olah mencabar keberadaan makhluk lain dan menyusahkan orang kampung yang mengutip hasil hutan. -KOSMO! ONLINE