PETALING JAYA – “Artis memang takkan dapat klip-klip kita (pengarah) melainkan pengarah sendiri yang bagi.”
Itu pendapat dilontarkan pengarah drama berpengalaman, Along Kamaludin berhubung kontroversi babak panas melibatkan pelakon, Zul Ariffin dan pendatang baharu, Siti Hariesa dalam drama Perempuan itu arahan pengarah, Ain Sharif.
Along, 56, yang ditemui Kosmo! Online semalam berkata, apa yang dilakukan mereka yang terlibat dalam drama tersebut sangat memalukan terutama kepada industri seni tanah air.
“Dah sunting tapi bagi kepada artis-artis kenapa? Apa tujuannya? Saya tak tahulah sama ada sengaja atau macam mana tapi hakikatnya, director’s cut memang takkan jatuh ke tangan pelakon.
“Yang saya faham, director’s cut ini adalah apabila cerita dah terlebih-lebih, dipotong, itulah dinamakan director’s cut yang tidak ditayangkan di pawagam atau kaca televisyen.
“Saya rasa apa yang dipaparkan bukan director’s cut, ini cut (potong) sendiri. Sorry to say (maaf cakap) untuk pengarah baharu terlibat, anda kena faham norma kemelayuan kita.
“Jangan terlebih-lebih hanya nak menaikkan nama anda sampai tergamak buat benda-benda begini,” katanya yang bakal muncul dengan drama terbaharu arahannya Ramadan nanti di Awesome TV berjudul Ikhlas dan Kaca.
Kecewa dengan apa yang berlaku dan menyifatkannya sebagai satu keaiban, Along atau nama sebenarnya, Shahrom Kamaludin menegaskan bahawa mereka yang terlibat dengan isu tersebut harus diberi pengajaran setimpal agar kesilapan tidak berulang selepas ini.
“Saya ada terbaca laporan portal yang sekarang Siti Hariesa itu namanya melonjak-lonjak. Pengikutnya bertambah tapi saya rasa budaya ini tak sihat.
“Nak dapatkan pengikut, bukan cara itu. Boleh bayangkan keluarga tengok, saudara-mara tengok, anak-anak buah tengok. Bagaimana respons mereka semua?
“Saya mengharapkan kepada artis baharu atau lama, kita kena tahu apa yang kita buat dan tahu apa hak kita sama ada nak buat atau tidak sesuatu adegan yang kita rasa akan menjatuhkan imej industri,” kata Along.
Menerima kecaman bertubi-tubi daripada orang ramai, nama Siti Hariesa semakin menjadi sebutan sehinggakan pengikut Instagramnya mencecah lebih 30,000 berbanding 8,000 sebelum ini.
Terbaharu, menerima kritikan ramai termasuk menteri dan golongan profesional industri terlibat, Zul mendedahkan sudahpun membuat keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini. – KOSMO! ONLINE