PETALING JAYA – Pelakon sensasi Zul Ariffin mengesahkan sudah selesai memberi keterangan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkongsi perkara tersebut menerusi InstaStory sebentar tadi.
“Hari ini saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak MCMC berhubung siasatan berkaitan penerbitan drama bertajuk Perempuan Itu,” tulisnya ringkas.
Pagi tadi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan dalam Twitter berkata, Zul akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) susulan tindakan memuat naik klip video ‘panas’ dalam laman sosialnya baru-baru ini.
Annuar berkata, pelakon itu akan dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.
Terdahulu, Zul Ariffin sebelum ini memuat naik klip drama bersiri Perempuan Itu dalam Instagram yang dianggap keterlaluan hingga dikecam netizen.
Tindakannya itu mendapat kecaman pelbagai pihak sebelum beliau membuat permohonan maaf semalam. – KOSMO! ONLINE