BERMULANYA sesi persekolahan pada Isnin lalu, bermakna bermulalah juga episod kesibukan bagi kebanyakan ibu bapa.
Rutin harian yang selama ini agak tenang, secara automatik bertukar menjadi kelam kabut terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.
Ini tidak mengambil kira kekalutan bagi ibu bapa yang mempunyai anak di darjah satu.
Soal mengurus anak, menghantar ke sekolah sehinggalah menjemput balik ke rumah adalah antara tugasan hakiki yang dilalui mereka.
Bagi ibu bapa yang bekerja, suasananya sangat berbeza dan sedikit membebankan. Bajet yang lebih perlu dikeluarkan, sama ada untuk menggunakan khidmat orang gaji ataupun rumah transit.
Bagaimanapun, dari sisi yang lain, bermulanya sesi persekolahan kali ini bermakna ibu bapa juga boleh menarik nafas lega.
Tiada lagi kerisauan untuk memikirkan soal pendidikan anak-anak.
Semuanya makin teratur dan lebih bersistematik apabila anak-anak ini akan mendapatkan ilmu di bilik darjah dan bukannya di ruang tamu rumah ataupun di bilik tidur seperti sebelum ini.
Satu-satunya perkara yang mungkin dibimbangi mereka adalah isu jangkitan Covid-19 di sekolah.
Ibu bapa juga pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila sekolah menjadi lokasi kepada merebaknya jangkitan Covid-19 sehingga mencetuskan kluster.
Dalam hal ini, peranan besar perlu dimainkan oleh pihak pentadbir sekolah, termasuk guru-guru.
Selain memikul tanggungjawab untuk memberi ilmu kepada anak-anak, mereka juga akan menjadi ‘barisan hadapan’ dalam mengawal jangkitan.
Tidak cukup dengan tanggungjawab itu, para guru turut berdepan seribu satu tugasan untuk mendidik murid.
Menyedari hakikat bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran era kini sangat kompleks, maka setiap guru perlu mempersiapkan diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran.
Hakikatnya, selain tugasan di bilik darjah, sesi awal persekolahan kali ini turut menyaksikan guru-guru terlibat dalam mesyuarat di peringkat sekolah, sama ada secara bersemuka ataupun menerusi online.
Semuanya dilakukan demi kelancaran dan perancangan yang lebih teratur sepanjang tahun ini.
Apa yang pasti, isu beg sekolah pastinya menjadi antara agenda kepada penambahbaikan kepada sistem persekolahan kita.
Benar, banyak hal dan tanggungjawab yang perlu dilalui oleh guru-guru ini, khususnya dalam usaha membentuk kira-kira 4.7 juta pelajar di seluruh negara sebagai manusia berjaya dan berguna.
Seperti kata bekas Menteri Pelajaran Indonesia, Ki Hajar Dewantara; “Janganlah separuh hati menjadi guru, kerana anak didik kita telah membuka sepenuh hati mereka untuk menerima ilmu.” -KOSMO! ONLINE