KEBERADAAN pelakon dengan nama pentas Haidar Hasanudin itu dalam industri seni hiburan baru berusia setahun jagung.
Bermula sebagai pembantu produksi yang hanya berada di belakang tabir, rezeki akhirnya memihak kepada Haidar apabila diberi peluang untuk membintangi drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin dengan menggalas watak sebagai Ashraff, tunang kepada Budi lakonan Daiyan Trisha.
Biarpun cuma memegang watak pembantu, peluang yang diberikan tidak disia-siakan, sementelah bergelar pelakon sudah menjadi keinginan dan cita-citanya sejak kecil.
Haidar percaya, setiap pelakon akan melalui fasa sama dalam kerjaya mereka. Ibarat mendaki bukit, lama-lama pasti akan sampai ke puncak (kerjaya).
Sedar usianya dalam industri masih terlalu mentah, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mahu bersikap selektif dalam soal penerimaan watak yang ditawarkan kepadanya.
Kata Haidar, dia bimbang jika timbul cakap-cakap dalam kalangan orang industri jika bersikap memilih, sedangkan baru sahaja hendak melakar nama.
“Sebagai pelakon baharu, saya tidak boleh bersikap terlalu selektif.
“Watak yang diberikan kepada saya walaupun kecil, itu adalah permulaan untuk saya mencipta nama dan mendapatkan kepercayaan.
“Untuk peringkat awal, saya akan ambil apa sahaja watak yang ditawarkan. Sekurang-kurangnya untuk pengalaman. Cuma saya akan pastikan watak yang ditawarkan itu nanti boleh membantu saya untuk ke hadapan,” katanya.
Kontroversi
Disoal tentang kesediaannya memikul watak yang boleh menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti, Haidar bertegas tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk menggalas tugas sedemikian.
“Kalau watak-watak sebegitu (kontroversi) boleh membantu menaikkan nama saya dalam industri, mengapa tidak?
“Lagi pun, saya anggap watak-watak sebegitu sangat mencabar saya sebagai pelakon.
“Saya tidak kisah dan bersedia untuk berdepan dengan kritikan netizen. Kalau bawakan watak biasa, penonton tetap akan bercakap sebab membawakan karakter klise,” jelasnya.
Sebagai pendatang baharu, Haidar juga sering dititipkan nasihat oleh pelakon senior supaya tidak terlalu melayan atau ambil serius kritikan netizen.
Bagaimanapun, Haidar tetap percaya ada komen netizen yang boleh membantu meningkatkan mutu lakonannya.
Haidar yang turut aktif dalam bidang pengacaraan podcast juga cuba mengelak daripada dilabel ‘menjual muka’ untuk bergelar seorang pelakon.
Sedar dirinya bukan siapa-siapa, Haidar tidak mahu dakwaan sebegitu timbul kerana yakin pada bakat lakonan dalam dirinya.
“Memang saya minat berlakon sejak kecil. Baru sekarang saya diberi kesempatan untuk beraksi di depan kamera.
“Saya akan gunakan peluang yang datang sebaik mungkin untuk buktikan bahawa saya memang mempunyai bakat dalam lakonan.
“Kalau betul saya berlakon agak ‘kayu’, saya akan timba lebih banyak lagi ilmu dan belajar teknik lakonan supaya tidak kekok,” kata pemuja Bront Palarae dan Zamarul Hisham itu.
Disoal tentang usianya, Haidar yang bakal muncul dengan sebuah telefilem berjudul Angah bersama pelakon Puteri Balqis itu tidak mahu mendedahkan usia sebenarnya buat ketika ini.
Dia tidak mahu usia mempengaruhi watak yang akan diberikan kepadanya nanti.
Digoda
Sekadar mengusik untuk mengetahui status dirinya hari ini, pelakon bertubuh sederhana itu mengakui, masih solo dan hatinya juga belum dimiliki mana-mana wanita.
“Belum fikir lagi soal jodoh sebab mahu bina kerjaya dulu. Saya bukan sejenis berahsia kalau sudah ada seseorang dalam hati saya.
“Cuma saya akan hadkan soal peribadi untuk dikongsikan pada umum,” katanya.
Berkongsi antara pengalamannya selepas bergelar pelakon, Haidar tidak menolak sering digoda bukan sahaja wanita, bahkan juga lelaki songsang.
“Saya pernah juga beberapa kali digoda lelaki. Malah ada yang mengirim gambar kemaluan kepada saya dalam Instagram.
“Mula-mula saya agak marah, tapi lama kelamaan bila difikirkan semula, perbuatan mereka itu tidak menjejaskan apa-apa pun. Jadi saya tidak melayannya,” kata Haidar.
Melihat jauh ke hadapan, Haidar berharap untuk tempoh 10 tahun akan datang, sekurang-kurangnya kerjayanya sebagai pelakon sudah meninggalkan beberapa judul yang memberi kesan kepada penonton.
“Saya hadir ke dalam industri bukan untuk main-main. Saya serius dan mahu menjadi yang terbaik,” katanya.