BEIJING – Pasukan mencari dan menyelamat mengutip serpihan pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di sebuah kawasan pergunungan dekat bandar Wuzhou, selatan China, semalam, yang membawa 132 penumpang.
Harapan untuk menemui mangsa terselamat dilaporkan semakin kabur selepas hampir sehari pesawat Boeing 737-800 itu menjunam ke kawasan pergunungan tersebut. Ia sekali gus menjadikannya sebagai nahas udara paling buruk yang berlaku di China selama hampir tiga dekad.
Kini, banyak persoalan tertumpu kepada punca nahas yang menyaksikan pesawat tersebut jatuh sehingga 6,096 meter dalam masa hanya lebih seminit sebelum terhempas.
Syarikat penerbangan China Eastern mengesahkan bahawa para penumpang pesawat yang berlepas dari bandar Kunming ke Guangzhou itu terkorban, namun masih belum mendedahkan sebarang butiran lanjut.
“Hari ini, kesan terbakar dapat dilihat pada lokasi nahas,” kata petugas penyelamat kepada AFP.
Ia mencetuskan spekulasi bahawa penumpang dan semua barangan milik mereka telah hangus sepenuhnya akibat kebakaran.
Seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Ou berkata, dia terdengar bunyi seperti dentuman guruh pada petang semalam dan diikuti dengan kebakaran besar memenuhi kawasan sekitar bukit-bukau.
Sementara itu, media tempatan memaparkan pasukan mencari beruniform memanjat ke atas pokok-pokok yang terbakar selain serpihan bangkai pesawat turut dilihat bertaburan. Ia termasuk satu bahagian pesawat yang memaparkan logo berwarna biru dan merah.
Dalam masa sama, pasukan lain pula dilihat menggunakan dron dalam misi pencarian yang dirumitkan oleh bentuk muka bumi yang curam serta tumbuhan tebal yang memenuhi kawasan tersebut.
Sementara itu, di Guangzhou, para petugas penerbangan membantu ahli keluarga penumpang dan kru pesawat yang menanti berita mengenai nahas itu. – AFP