fbpx

PM ada kuasa umum keputusan – Mastura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hak prerogatif dalam mengumumkan sebarang keputusan atau dasar kerajaan di mana-mana forum yang dihadiri oleh beliau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, ini temasuklah pengumuman yang dibuat oleh beliau mengenai pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 yang akan dilaksanakan bermula Mei ini.

Pengumuman tersebut diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 baru-baru ini.

“Mengenai hal-hal berkaitan pengumuman di PAU, Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk mengumumkan apa sahaja pengumuman di mana-mana forum yang beliau rasa sesuai.

“Beliau juga telah mengumumkan banyak perkara mengenai peralihan ini ketika beliau membuat sidang media, dan ketika mengumumkan fasa peralihan negara ke fasa endemik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu mengenai sama ada cadangan yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) masih diterima pakai oleh kerajaan.

Ia susulan dakwaan yang dikemukan Guan Eng bahawa cadangan MPN untuk membuka sempadan negara pada 1 Mac hanya dilaksanakan oleh kerajaan pada 1 April, selain pengumuman perubahan dasar dalam ekonomi dibuat oleh Perdana Menteri dalam persidangan parti politik.

“Adakah cadangan atau syor-syor MPN diterima oleh pihak kerajaan? dan sekiranya tidak, lebih baik MPN dibubarkan sama sekali.

“Ini kerana kita lihat dalam PAU, perubahan dasar dalam ekonomi diumumkan oleh Perdana Menteri dalam persidangan parti politik dan bukanlah berdasarkan apa-apa syor yang dibuat oleh MPN dan ini menunjukkan MPN tidak berfungsi dan berkesan lagi,” kata Guan Eng.

Sehubungan itu, Mastura menjelaskan keputusan membuka sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk usaha untuk merancakkan semula ekonomi khususnya industri pelancongan negara.

“Pertimbangan juga dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi negara yang tinggi dan ancaman varian Omicron yang dilihat tidak memberi kesan yang teruk kepada individu yang telah lengkap vaksinasi.

“Garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika pembukaan sempadan negara tidak akan menyusahkan mana-mana pengembara yang masuk ke dalam negara serta rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke negara-negara luar lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI