KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sudah lama menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu berlaku sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak membuka akaun peribadi Ambanknya pada 2011 yang didakwa menerima wang daripada syarikat pelaburan strategik tersebut.
Ketika prosiding perbicaraan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, ia terbukti apabila Jho Low menerima keuntungan RM74 juta daripada penjualan semula penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang dipindahkan masuk ke dalam syarikat berkaitan dirinya, iaitu Country Group Securities Pcl dan Aktis Capital Singapore Pte Ltd pada 2009.
Muhammad Shafee turut berkata, dalam beberapa hari sahaja, kedua-dua syarikat itu membuat keuntungan ‘atas angin’ apabila ia melanggan bon 1MDB dengan harga diskaun sebelum menjualnya semula dengan nilai muka (face value, atau nilai di atas kertas).
TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.
Pada prosiding terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa dua buah syarikat, Country Group Securities Pcl dan Aktis Capital Singapore Pte Ltd yang dikaitkan dengan Jho Low menerima keuntungan atas angin berjumlah RM74 juta.
‘Keuntungan’ itu diperolehi Jho Low apabila menjual semula bon tersebut dengan harga pasaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedangkan bon itu dibeli dengan harga diskaun dalam masa beberapa hari.
“Akaun peribadi Ambank Najib pula yang didakwa menerima dana 1MDB berbilion ringgit pula hanya dibuka pada tahun 2011, jadi ia tidak ada kena mengena dengan IMTN,” kata peguam itu ketika menyoal balas bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, dengan merujuk saksi kepada petikan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui artikel daripada sebuah blog.
Tambahnya, Najib juga tidak mengetahui mengenai salah laku dalam 1MDB dan beranggapan bahawa ia adalah derma daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.
Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – KOSMO! ONLINE