PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) telah bekerjasama dengan Nylex (Malaysia) Berhad melalui perjanjian utama (HOA) yang dimeterai untuk membina dan mengendalikan sistem transit aliran ringan (projek LRT) di wilayah metropolitan Johor Bahru (JB).
Nylex adalah pemegang saham Sinar Bina Infra Sdn Bhd., iaitu BTS Group Holdings Public Company Ltd (BTS0 dan Ancom Berhad.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, LBS dan SBI mempunyai bank tanah strategik di kawasan tertentu di Johor Bahru manakala BTS adalah syarikat tersenarai awam di Thailand dan pemegang saham majoriti bagi Bangkok Mass Transit System PCL, iaitu pengendali BTS Skytrain dan Bangkok BRT.
Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, berdasarkan HOA, LBS akan menyediakan hartanah di kawasan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dipersetujui bersama dengan mengambil kira penilaian yang bakal dilakukan oleh penilai bebas, bagi tujuan projek LRT.
Sebagai pertukaran, LBS akan menerima saham Nylex pada harga RM0.15 sesaham dan LBS atau mana-mana anak syarikatnya akan menjadi kontraktor utama bagi pembangunan berkaitan.
HOA tertakluk kepada keputusan kajian yang akan dijalankan oleh BTS dan perunding profesional, pemberian konsesi Projek LRT oleh kerajaan negeri Johor kepada SBI serta menandatangani perjanjian muktamad bagi projek tersebut.
“Kerjasama yang berpotensi ini memberi peluang untuk kami memberi nilai tambah yang sewajarnya ke atas tanah-tanah kami di Johor di samping meningkatkan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan sertai mengatasi projek perumahan yang biasa dibangunkan.
“Kami menjangkakan untuk menjana pendapatan melalui pembinaan infrastruktur dan pendapatan berulang yang stabil melalui projek ini. Wilayah metropolitan Johor Bahru semakin membangun dan, kesinambungan merupakan elemen yang penting bagi pertumbuhannya.
“Tambahan pula, tanah-tanah kami ini terletak di lokasi yang strategik. Kami menjangkakan projek ini akan menjadi pembangunan yang berdaya maju di samping melancarkan pengangkutan dan akses di kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Hock San menjelaskan, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan golongan profesional yang berpengalaman dan berkemahiran teknikal serta berpengetahuan luas untuk membantu Kumpulan di dalam projek tersebut,.
“Kami akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian ini dan berkongsi sebarang maklumat sebagai tambahan kepada terma dan syarat perjanjian tersebut,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE