LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui puas selepas menyaksikan harapan pasukan untuk menjulang gelaran trebel terbuka selepas menempah slot separuh akhir Piala FA musim ini dengan menewaskan Southampton 4-1 kelmarin.
Pada aksi suku akhir di St. Mary, The Citizens tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan apabila meraih gol hasil jaringan Raheem Sterling, Kevin de Bruyne, Phil Foden dan Riyad Mahrez.
Kata Guardiola, cuti rehat aksi antarabangsa hadir tepat pada masanya kerana anak-anak buahnya memerlukan tempoh ‘bertenang’ sebelum mengharungi jadual padat bulan depan dalam usaha memburu tiga kejuaraan utama.
“Ini adalah satu perkembangan yang bagus kerana apabila saingan musim ini sudah masuk ke bulan Mac tetapi kita masih kekal bersaing pada tiga kejohanan sekali gus berpeluang untuk menamatkan kempen musim ini dengan tiga trofi.
“Namun, saya mengingatkan barisan pemain agar tidak terlalu memikirkan mengenai gelaran trebel dan fokus mengharungi satu demi satu perlawanan.
“Cuma, saya akui gelaran treble cukup istimewa kerana tidak banyak pasukan di England pernah meraih status tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, pengendali dari Sepanyol itu turut memuji impak yang diberikan oleh Sterling yang dianggap antara pemain berpengaruh dalam pasukan ketika ini. – AGENSI