PUTRAJAYA – Penahanan dua pemandu lori tangki minyak dan pekerja membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan sebuah stesen minyak dan sebuah premis tidak bernombor di sekitar Klang baru-baru ini.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, penemuan itu susulan dua serbuan ke atas sebuah stesen minyak dan di sebuah premis tanpa nombor pada pukul 10 pagi 18 Mac lalu.
Katanya, seramai 12 orang pegawai dan anggota penguat kuasa menahan dua pemandu lori yang sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di dua buah pam berasingan di stesen minyak berkenaan.
Ujarnya, mereka gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.
“Serbuan kedua di sebuah premis tanpa nombor disyaki stor haram penyimpanan minyak diesel dan ketika serbuan, aktiviti pemindahan cecair disyaki minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tiga buah tangki sedang dilakukan.
“Pihak premis juga gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan atas kesalahan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azman, pasukan KPDNHEP menyita keseluruhan sejumlah 40,390 liter cecair disyaki minyak diesel, dua buah lori, beberapa unit saluran paip getah, tiga buah kompresor serta dua buah telefon bimbit.
Katanya, turut disita ialah satu set dekoder rakaman litar tertutup dan invois serta resit jualan dan belian berserta pelbagai dokumen perniagaan melibatkan keseluruhan rampasan berjumlah RM207,835. – KOSMO! ONLINE