SEREMBAN – Dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengalami detik cemas apabila kenderaan pacuan roda yang dinaiki mereka melanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah Utara di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada pukul 3.15 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Ford Ranger dalam perjalanan dari Kulai, Johor ke Kem TLDM Lumut, Perak.
“Pemandu kereta seorang lelaki yang merupakan pengawai TLDM berpangkat Leftenan Komander berusia 39 tahun dan penumpangnya lelaki berangkat Komander TLDM, 42, dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mereka memandu di lorong kanan telah terlanggar seekor lembu di laluan sama menyebabkan kenderaan berpusing dan berhenti di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nanda, ketika kejadian bentuk permukaan jalan adalah lurus, cuaca dalam keadaan baik namun jalan gelap kerana tiada lampu jalan.
Video kemalangan tersebut yang berdurasi 26 saat turut tular di media sosial Facebook Negeri Sembilan Kini dengan memaparkan rakaman pemandu yang mengucapkan ‘Ya Allah’ dan terlanggar seekor lembu berwarna hitam putih tanpa sempat mengelak. – KOSMO! ONLINE