TEMERLOH – Kedudukan Kampung Mambang Berulang dan Kampung Sungai Dingin di sini hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Mentakab, namun prasarana yang terdapat di kawasan itu seolah-olah seperti berada di era 1980-an.
Ini dapat dilihat apabila penduduk di dua buah kampung yang dianggarkan seramai 400 orang masih menggunakan jambatan gantung bagi merentasi Sungai Semantan untuk ke bandar Mentakab dan Temerloh.
Lebih memburukkan keadaan apabila jambatan gantung yang menjadi laluan utama penduduk di situ rosak sehingga kini, sekali gus membebankan penduduk kerana terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh untuk ke bandar.
Seorang penduduk, Mohd. Firdaus Abdul Razak, 37, berkata, walaupun sudah beberapa bulan Jambatan Gantung Mambang Berulang di sini rosak akibat banjir Disember tahun lepas, namun belum ada tanda akan diperbaiki.
“Jambatan ini menjadi laluan penting kepada penduduk untuk pergi ke bandar termasuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana menjimatkan masa iaitu hanya sekitar lima minit untuk ke bandar berbanding hampir 30 minit menggunakan laluan alternatif.
“Bagaimanapun, ketika ini, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lain iaitu jalan bengkang bengkok dan sempit, selain agak jauh untuk ke jalan utama Temerloh-Mentakab,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Marto Marijo 63, berkata, penduduk mengharapkan tindakan segera dilakukan bagi membaiki atau menggantikan jambatan baharu demi keselesaan penduduk.
Katanya, sudah tiba masanya sebuah jambatan konkrit dibina bagi menggantikan jambatan gantung yang sudah berusia lebih 30 tahun itu.
“Kami merayu kerajaan dapat memberikan perhatian kepada masalah kami ini dan penduduk sememangnya ternanti-nanti perkhabaran gembira daripada pemimpin negeri dan pusat,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE