PETALING JAYA – Kumpulan Love & Laugh optimis untuk menjadi peneraju bagi membangunkan ekosistem bersepadu dalam segmen pembangunan kanak-kanak yang berteraskan teknologi pendidikan, penjagaan dan hospitaliti bagi melahirkan generasi lebih baik pada masa depan.
Bagi mencapai misi tersebut, Kumpulan telah membuat pelan pembangunan yang strategik dengan cadangan mewujudkan Pusat Pembangunan Ibu Bapa dan Anak serta pusat penyelidikan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Shahrulnizam Abd. Hamid berkata, pusat penyelidikan itu akan dijadikan sebagai hab yang mengumpul pakar pembangunan kanak-kanak di seluruh dunia dan melalui kepakaran, kuasa serta tenaga yang digembeling bersama, diharap dapat membantu membangunkan satu ekosistem yang berkualiti.
“Ia akan menaikkan semangat anak-anak untuk memahami lebih lanjut serta mendapat manfaat daripada penyelesaian teknologi yang ditawarkan.
“Kami juga mengalu-alukan peluang untuk meneroka pakatan strategik dengan mana-mana syarikat untuk bekerjasama dan melabur dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena penyertaan syarikat dalam Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahrulnizam menerangkan, kebergantungan ibu bapa kepada penjaga dan guru untuk membimbing anak-anak mereka menyebabkan permintaan terhadap industri tersebut terus bertambah.
Namun realitinya, bidang pendidikan kanak-kanak ini tidak tersusun dan sistematik sehingga boleh menjejaskan serta mempengaruhi cara pemikiran kumpulan tersebut ke arah pembentukan mental, fizikal serta dalaman yang berkualiti bagi mengharungi cabaran mendatang.
“Di sinilah peranan Love & Laugh mahu memberi inspirasi untuk mengatasi masalah tersebut dengan revolusi yang disokong oleh teknologi dan pembangunan mampan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE