GUA MUSANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Kelantan menyerahkan bantuan kepada waris keluarga penghantar makanan, Mohamad Amir Nordin, 23, yang meninggal dunia akibat digilis treler baru-baru ini.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, semakan terhadap Mohamad Amir yang terbabit nahas pada 6 Mac lalu mendapati mangsa baru 21 hari mencarum dengan Perkeso melalui Perlindungan Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menurut beliau, ibu bapa arwah layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) sepanjang hayat sebanyak RM1,116 sebulan dan adik-beradik arwah sehingga berusia 21 tahun.
“Saya menyeru masyarakat supaya menjadikan kes yang melanda arwah dijadikan iktibar supaya setiap individu terutama yang bekerja sendiri tampil mencarum dengan Perkeso segera.
“Pihak kerajaan membantu membayar RM186.20 dan pihak pencarum hanya perlu membayar RM46.60 sebulan. Tawaran ini diberikan sehingga 31 Disember,” katanya selepas menyerahkan bantuan Perkeso kepada keluarga mangsa di Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan hasrat seorang pemuda untuk menghantar makanan tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang dirempuh sebuah treler di Kilometer 3.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada 6 Mac lalu.
Dalam kemalangan pukul 3.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia dalam ambulans semasa dalam perjalanan dari Hospital Gua Musang ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. -KOSMO! ONLINE