PETALING JAYA – Penduduk di empat negeri terlibat dinasihatkan agar terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berlaku sehingga pukul 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, amaran ribut petir dikeluarkan melibatkan Terengganu, Sarawak, Sabah dan Labuan petang ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan buruk ini dijangka tertumpu sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman bagi Terengganu.
Selain itu, di Sarawak cuaca yang sama berpotensi berlaku di Sibu (Sibu dan Selangau), Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu (Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Di Sabah, antara kawasan yang mengalami hujan lebat serta ribut petir sehingga awal malam nanti adalah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Tawau (Lahad Datu) serta keseluruhan Labuan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini. – KOSMO! ONLINE