PASIR MAS – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan melantik seramai 30,000 individu sebagai Duta Komuniti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan duta itu melibat seluruh lapisan masyarakat di negara ini, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
Menurutnya, Duta Komuniti itu akan memainkan peranan dengan memberikan peringatan berkaitan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka dalam usaha mencegah risiko jangkitan Covid-19.
“Duta Komuniti yang dilantik akan diberikan watikah dan mereka bertanggungjawab dengan amanah tersebut. Sebagai permulaan, majlis pelancaran akan berlangsung di Perlis pada 25 Mac ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Serongga, Repek di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, peringatan oleh Duta Komuniti itu akan diberikan dalam bentuk nasihat secara mesra setiap kali berlangsungnya satu-satu majlis di kawasan mereka.
Jelas beliau, cara tersebut telah dipraktikkan oleh Amerika Syarikat, Singapura dan negara-negara lain di dunia dalam membendung jangkitan virus tersebut.
Tambahnya, usaha itu turut mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. -KOSMO! ONLINE