JOHOR BAHRU – Seorang pembantu tadbir Pejabat Kadi Kluang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,800, lima tahun lalu.
Tertuduh, Norlizah Mohd. Jani, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memberikan dokumen-dokumen yang mempunyai butiran matan palsu iaitu Borang Tuntutan Saguhati Mengajar di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid dan Surau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Norlizah antara Januari 2015 sehingga September 2016 di Pejabat Kadi Daerah Kluang.
Tuntutan palsu yang dibuat tertuduh adalah sebanyak RM16,800 sedangkan aktiviti tersebut tidak dijalankan dan tidak mempunyai tauliah mengajar dan menerima elaun sebagai guru takmir.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Salahudin Tugiman.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Oktober ini.-K! ONLINE