PUTRAJAYA – Menepati ramalan ramai, Danial Chuer dan Aisha Retno merupakan antara peserta yang diumumkan layak melangkah ke peringkat akhir program Big Stage musim keempat (BS4) malam tadi.
Selain dua peserta tersebut, tiga lagi peserta yang turut berjaya menempa tiket sebagai finalis pada konsert akhir pada minggu hadapan ialah Yazmin Aziz, Elica Paujin dan peserta tunggal dari negara seberang, Tegar Septian.
Bagaimanapun, impian Ajoy Zainal untuk melangkah ke peringkat akhir lebur selepas diumumkan sebagai peserta terakhir yang tersingkir apabila meraih markah undian penonton terendah iaitu sebanyak 10.09 peratus selepas berada di kedudukan dua terbawah sekali gus melenyapkan impiannya untuk bersaing pada minggu hadapan.
Pada peringkat separuh akhir BS4 yang bertemakan ‘Flex’ untuk pusingan pertama dan ‘battle mash up’ untuk pusingan kedua, Danial Chuer memperoleh markah tertinggi iaitu sebanyak 93 peratus.
Sementara itu, Aisha Retno menduduki tempat kedua mendapat markah sebanyak 87.8 peratus dan Yazmin di tempat ketiga dengan markah 79.3 peratus.
Pada konsert akhir nanti, barisan finalis akan mendendangkan dua buah lagu iaitu secara solo pada pusingan pertama dan pada pusingan kedua, mereka akan menyanyi secara duet bersama penyanyi undangan.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal, Ajai berperanan sebagai Juri Tetap serta Aliff Aziz sebagai Juri Juara.
Kerusi Juri Pedas masih diisi oleh anak seni berpengalaman, Adlin Aman Ramli, manakala usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida mengisi kerusi Presiden Netizen. – KOSMO! ONLINE