SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menghimpit sebuah kereta sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Perai di sini kelmarin ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.
Menurut Shafee, lelaki warga tempatan itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis memburu pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menghimpit sebuah kereta sehingga hampir menyebabkan ia melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan.
Kejadian itu tular di media sosial hari ini apabila rakaman video berdurasi seminit 35 saat memaparkan kejadian tersebut dimuat naik ke laman sosial.
Video berkenaan menunjukkan pacuan empat roda berwarna putih mengekori sebuah kereta berwarna kelabu sebelum menghimpit kereta itu beberapa kali.
Kereta tersebut kemudiannya dilihat terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar kon dan hampir melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan. – KOSMO! ONLINE