JAKARTA – Satu majlis perkahwinan di Magetan dalam wilayah Jawa Timur menerima tetamu tidak diundang apabila sebuah bas persiaran hampir merempuh masuk kawasan rumah pengantin, lapor laman Suara.com.
Menerusi rakaman video oleh salah seorang tetamu, bahagian hadapan bas tersebut dilihat menembusi kawasan khemah yang sudah dihiasi renda majlis perkahwinan.
Tetamu yang pada awalnya sedang menari sambil menyanyi di bawah khemah itu bertempiaran lari apabila menyedari bas tersebut menuju ke arah mereka.
Tidak lama selepas ‘menceroboh’ majlis perkahwinan itu, bas tersebut kemudian perlahan-lahan mengundur ke belakang lalu meninggalkan tempat kejadian.
Video yang dimuat naik di Instagram @beritamagetan itu mendapat komen yang pelbagai daripada pengguna media sosial.
“Saya syak pemandu ini pasti guna Google Maps hingga sesat ke majlis perkahwinan orang,” komen seorang netizen. – Agensi