SEBERANG PERAI – Keputusan untuk melaksanakan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh Pulau Pinang akan diketahui selewat-lewatnya awal Ramadan ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata, situasi itu juga adalah dengan mengambil kira dengan jumlah kes positif Covid-19 di Pulau Pinang yang dilihat menunjukkan penurunan.
“Setakat ini, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan persekutuan termasuk SOP solat tarawih, majlis berbuka puasa serta aktiviti moreh.
“Cuma keputusan untuk menentukan tarikh pelaksanaan (rapat saf berjemaah) sahaja masih belum diputuskan iaitu sama ada 1 April atau awal bulan Ramadan ini memandangkan kes Covid-19 di Pulau Pinang juga telah menunjukkan penurunan,” katanya pada Majlis Bacaan Doa Selamat Misi Everest 2022, di Surau Permatang Kerai Besar, Kepala Batas di sini, hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk menyelaraskan SOP terbaharu peringkat Persekutuan dengan garis panduan yang telah ada dikuatkuasakan di peringkat negeri.
“Sementara itu, bagi majlis berbuka puasa dan moreh pula, sebelum ini kita (Pulau Pinang) telah melaksanakan aktiviti tersebut mengikuti kesesuaian SOP, malah bagi kapasiti anggota jemaah pula adalah berdasarkan keluasan dalam masjid atau surau masing-masing,” katanya.
Pada Januari lalu, Pulau Pinang masih belum dapat melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf seperti mana yang dilakukan di Perlis dan Johor ketika ini berikutan ancaman jangkitan Covid-19 varian Omicron masih wujud di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun pada November lalu, Pulau Pinang telah membenarkan semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau diadakan secara bersemuka termasuklah majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti aktiviti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong. – KOSMO! ONLINE