MACHANG – Kerajaan negeri Kelantan menyarankan penjarakan fizikal ketika solat di masjid dan surau di negeri ini dikekalkan meskipun negara akan beralih ke fasa endemik pada 1 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, langkah itu merupakan usaha untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan ketika ini.
Menurutnya, bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu diputuskan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) terlebih dahulu.
“Meskipun berada dalam fasa endemik, masyarakat harus cakna dengan keadaan semasa. Sekiranya ada jemaah yang tidak sihat, tidak perlu hadir ke surau dan masjid bagi mengelak jangkitan.
“Apabila kita berada dalam fasa endemik, rakyat merasakan mereka sudah bebas sekali gus tidak menghiraukan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di masjid dan surau. Apa pun, kita tunggu keputusan Maik selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Zon Bersih Indah Dan Ceria Jajahan Machang di Dataran Kenanga
di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izani memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan kemasukan pesakit ke dalam wad dan jumlah kematian akibat Covid-19 akan meningkat selepas fasa endemik kerana jumlah rakyat Kelantan menerima suntikan vaksin dos penggalak masih rendah.
Menurutnya, sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka yang sudah menjadi kebiasaanya sejak dua tahun lalu. -KOSMO! ONLINE