KOTA BHARU – Polis menahan seramai 197 orang remaja di negeri ini yang terlibat dalam kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, 100 remaja dicekup berkaitan kes rogol dan sumbang mahram sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 2020 iaitu 84 orang.
Katanya, selain itu, seramai 97 orang remaja pula ditahan kes dadah dan berdasarkan rampasan membabitkan pelbagai jenis dadah terutamanya pil kuda, syabu dan ketum.
“Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini melibatkan kes rogol dan sumbang mahram.
“Remaja berusia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa daripda peralihan zaman kanak-kanak. Jadi, timbul sikap ingin mencuba selain mengalami perubahan fizikal, jasmani, sosial dan emosi,” katanya selepas merasmikan Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial Remaja Peringkat Kontinjen Kelantan 2022 di Balai Polis Kota Bharu di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE