fbpx

Jabatan Imigresen perlu iktiraf peranan APS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENAIKAN kos sara hidup di Malaysia menjadi punca pekerja asing menuntut gaji lebih. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) berharap Jabatan Imigresen mengiktiraf kesemua 501 agensi pekerjaan swasta (APS) kategori lesen C yang disyorkan perkidmatan mereka oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, pihaknya juga berharap kaunter khas dapat diwujudkan bagi APS berkenaan terutamanya di cawangan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Jelasnya, ia bagi membantu melicinkan proses pengambilan pekerja asing dan menjawab pertanyaan majikan berkaitan perkara tersebut.

“PAPSMA ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kementerian (KSM dan Kementerian Dalam Negeri) serta jabatan-jabatan mereka kerana bekerjasama dengan kami dan membantu proses pengambilan pekerja asing.

“Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan majikan menggunakan kami sebagai perantara dan fasilitator proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sukumaran, lebih 300,000 permohonan bagi pekerja asing menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dilaporkan telah diterima oleh KSM.

Katanya, sebagai agensi profesional dan berpengalaman, pihaknya akan memastikan proses permohonan dapat diuruskan dalam tempoh singkat agar mampu membantu sektor perniagaan meneruskan operasi.

Ini kerana, katanya, banyak syarikat terpaksa gulung tikar kerana kekurangan pekerja akibat pandemik Covid-19.

“APS juga memainkan peranan penting dalam mencari dan mendapatkan pekerja bersesuaian dengan kemahiran yang betul untuk memenuhi kekosongan pekerjaan selepas ramai pekerja asing meninggalkan negara selepas tamat kontrak kerja mereka.

“Mereka juga berperanan mengenal pasti ejen pengambilan pekerja asing di negara sumber untuk mencari dan merekrut pekerja mahir dan berpengalaman yang betul untuk industri dan sektor sesuai bagi majikan di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, PAPSMA dan ahli-ahlinya telah mendepositkan jaminan bon sebanyak RM250,000 bagi setiap lesen pengambilan di bawah kategori C.

Justeru, mereka akan memastikan untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan sah agar wang deposit mereka tidak dirampas atas sebarang kesalahan di bawah KSM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI