BEKAS pemain kebangsaan, Azman Adnan mencabar pemain-pemain penyerang negara untuk membuktikan yang Malaysia masih memiliki bisa’ untuk menjulang Harimau Malaya di peringkat tertinggi.
Bagaimanapun, Azman meminta peminat supaya lebih bersabar kerana jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bukanlah ahli silap mata yang mampu mengubah pasukan dalam sekelip mata.
“Kalau nak cerita tentang penyerang, ketika Piala AFF memang penyerang kita tidak menjadi. Bukan saya saja, peminat juga mengharapkan pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin dan pemain muda lain mampu tampil lebih cemerlang.
“Flanker kita ada tetapi kita tidak ada ‘penyerang ortodok’. Selain daripada bantuan daripada jurulatih, pemain yang kena tentukan hala tuju kejayaan pasukan negara,” katanya pada majlis pelancaran koleksi digital Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT) semalam.
AANFT bukan sekadar karya seni digital dan token, malah pengumpulnya juga bakal menikmati pengalaman eksklusif bersama Azman Adnan seperti sesi santai bersama Azman Adnan, kod diskaun khas untuk setiap pembelian di e-dagang MONYOK.COM, menjadi tetamu khas dalam Youtube The Azman Adnan dan banyak lagi.
Dalam masa sama, Azman yang cukup dikenali dengan slogan ‘Man Turn Man Score’ tidak kisah dengan senarai pemain yang dipanggil Pan-gon kerana keutamaan adalah untuk melihat Harimau Malaya kembali mengaum di pentas antarabangsa.
“Pemain pun sudah diumumkan dan sekarang kita bagi ruang kepada jurulatih menilai untuk membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap. Saya tidak kisah siapa pun yang dipanggil tetapi saya mahukan kualiti dan pemain terpilih mampu bermain bermati-matian untuk negara,” katanya.