PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu kontroversi dikaitkan dengan seorang yang dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’.
Terdahulu, kisahnya pernah tular disebabkan tindakannya memarahi pekerja di sebuah kedai serbaneka gara-gara anaknya dituduh mencuri oleh pekerja tersebut.
Susulan daripada kejadian agak tersebut, terdapat segelintir individu mempersoalkan serta mengecam kulit wajah wanita berkenaan yang dikatakan agak teruk.
Sehubungan itu, seorang pengasas kosmetik tampil membantu serta menaja Kak Long dengan produknya bagi tujuan merawat kulit wajahnya semula.
Terbaharu, menerusi hantaran di Facebook pengasas tersebut, dia memaklumkan telah menghentikan penajaan terhadap Kak Long kerana turut terkesan dengan video yang dimuat naiknya seperti mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Sebelum ini saya pernah taja ‘Kak Long 7E’ pakai produk saya, tak sampai seminggu tular mengenai isu video terbarunya seperti persenda OKU.
“Ramai tak boleh terima, dan pasukan saya juga tak boleh terima dengan gurauan sedemikian.
“Jadi saya hentikan tajaan terhadapnya sebab isu OKU ini sangat sensitif bagi saya dan pasukan, saya tak nak isu yang negatif berkait terhadap produk saya,” tulisnya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE