BANGKOK – Seekor kucing didakwa ‘merampas’ suami seorang wanita kerana sering mendampingi lelaki berkenaan hampir setiap masa, lapor portal Metro UK baru-baru ini.
Wanita berkenaan, Nasrin Hami, 28, berkata, dia berasa seperti orang asing kerana sukar berdamping dengan suami, Anatchai disebabkan kucing bernama Jarvis enggan berjauhan dengan lelaki itu.
Jarvis ialah kucing jantan baka Scottish Fold dan berumur enam tahun dipelihara pasangan tersebut di kediaman mereka.
“Jarvis banyak meluangkan masa bermanja dengan suami saya, baring di atas badannya dan melakukan apa saja untuk sentiasa rapat dengan Anatchai.
“Semasa suami duduk di meja makan, Jarvis akan mendekati dan meletakkan kaki di atas suami, menunjukkan suami saya miliknya dan mahu berkasih sayang,” katanya.
Nasrin berkata, Jarvis ialah haiwan peliharaan yang baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka.
“Jarvis hanya makan makanan kucing dan tidak pernah mencuba makanan manusia walaupun hidangan ikan.
“Ia suka tidur dan melihat burung di luar tingkap serta bermain dengan suami saya,” ujarnya.
Nasrin menyatakan dia tetap menyayangi Jarvis walaupun kucing itu menunjukkan minat luar biasa terhadap suaminya.
“Jarvis sentiasa manja dengan suami dan berkelakuan sama terhadap saya atau mana-mana tetamu di rumah.
“Ia juga akan mengekori saya setiap kali masuk ke dapur untuk menyediakan hidangan makanan,” ujarnya.
Beberapa gambar dan video yang dikongsi Nasrin menunjukkan Jarvis gemar menghimpit Anatchai seolaholah meminta dibelai turut tular di media sosial. – AGENSI