BUKAVU – Kira-kira 50 orang dikhuatiri maut selepas satu lombong emas ditenggelami air selepas hujan berterusan di kawasan timur Republik Demokratik Congo, kata seorang gabenor wilayah kelmarin.
Insiden itu berlaku pada Jumaat lalu di bandar Kamituga, wilayah Kivu Selatan kira-kira 270 kilometer barat daya kota Bukavu.
Gabenor Kivu Selatan, Theo Ngwabidje Kasi menyatakan kematian tragis itu melibatkan seramai 50 orang dengan sebahagian besar ialah orang muda.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Kamituga, Alexandre Bundya berkata, mereka belum memperoleh kepastian jumlah sebenar mangsa korban.
Setakat ini, belum ada mayat ditemui. Beliau berkata, seramai 19 keluarga tiba di lokasi untuk mencari ahli keluarga masing-masing.
Presiden Congo, Felix Tshisekedi meluahkan rasa sedih dan meminta kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan kejadian tidak berulang.
Seorang penduduk setempat, Jean Nondo Mukambilwa memberitahu agensi berita AFP bahawa hanya satu mayat sudah ditemui setakat ini.
Hujan lebat menyebabkan air sungai berhampiran lombong itu melimpah dan ada laporan awal mengatakan lombong itu runtuh.
“Sebenarnya, tiada runtuhan berlaku. Ia disebabkan hujan yang menyebabkan insiden berlaku,” jelasnya.
“Air masuk melalui tiga terowong. Apabila pelombong cuba keluar, mereka gagal kerana arus air kuat,” katanya.
Orang ramai menggunakan penyodok dan cangkul untuk membersihkan laluan masuk ke dalam lombong itu pada ketika petugas Palang Merah bersiap sedia menghulurkan bantuan.
Datuk bandar mengumumkan dua hari berkabung dan meminta penduduk membantu mengeluarkan mayat dari lombong berkenaan.
“Kumpulan penyiasat akan menyiasat punca kejadian. Pihak berkuasa sepatutnya bertanggungjawab dan bukan hanya mengenakan cukai ke atas pelombong,” kata wakil masyarakat, Nicolas Kyalangalilwa.
Congo merupakan pengeluar sumber asli kobalt terbesar dunia, yang digunakan dalam pembuatan bateri telefon pintar dan kenderaan elektrik.
Negara itu juga kaya dengan sumber galian emas, tembaga dan coltan. Kebanyakan kemalangan di lombong Congo berlaku di lokasi terpencil.
Pada Jun 2019, sekurangkurangnya 39 lelaki maut selepas sebahagian lombong tembaga runtuh di Kolwezi, wilayah Katanga. – AFP