KOTA BHARU – Gara-gara terkejut polis membuat sekatan jalan raya (SJR), seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh pagar Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh di sini malam tadi.
Nahas itu mengakibatkan Abdullah Ab. Ghani, 66, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil cedera pada bahagian hidung manakala anaknya, Mohammad Ridwan, 25, mengalami sakit pinggang dan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.09 malam ketika dua beranak itu sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Setiu, Terengganu.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, warga emas terbabit dipercayai terkejut dengan pemeriksaan SJR yang dijalankan oleh pihak polis berhampiran Balai Polis Bukit Yong sebelum tertekan pedal minyak.
“Kejadian itu disedari anaknya yang duduk di tempat duduk penumpang depan lalu menarik stereng daripada merempuh belakang bas yang berhenti untuk pemeriksaan di SJR Bukit Yong.
“Insiden menyebabkan kereta tersebut melanggar pagar Balai Polis Bukit Yong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien memberitahu, dua beranak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua beranak mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE