PETALING JAYA – Seperti dijangka, selepas dikecam secara bertubi-tubi pelakon Zul Ariffin bertindak memadam video aksi ‘panas’ dirinya bersama pelakon baharu, Siti Hariesa di Instagram.
Sungguhpun begitu, Zul, 36, memuat naik sebuah video pendek dalam laman sosial berkenaan seolah-olah memberi respons mengenai kontroversi yang tercetus.
Berbusana segak berona biru seakan-akan berada dalam panggung wayang, pelakon kelahiran Taiping, Perak itu tersenyum sinis dan bertepuk tangan menunjukkan isyarat tanda bagus seraya meninggalkan bangku penonton.
“Back to work (kembali bekerja),” tulis pelakon filem Penunggang Agama itu di ruangan kapsyen video yang dimuat naik.
Sementara itu, menjengah di ruangan komen, pengguna media sosial terus melahirkan rasa tidak puas hati terhadapnya meskipun video itu telah ‘hilang’ daripada akaun Instagram pelakon berbadan sasa tersebut.
Berita berkaitan: Ramai ‘terbeliak mata’ tengok aksi panas Zul Ariffin
“Harapnya, cerita itu tak tayang terus. Ceh, padam (video) buat apa bro, hang sudah viral,” demikian antara komen ditinggalkan netizen.
Malam tadi, Zul mencetuskan kemarahan orang ramai apabila berkongsi sedutan babak panas lakonannya menerusi sebuah drama bertajuk Perempuan Itu di Instagram.
Berita berkaitan: Tarik nafas panjang saya drama tular siar Ramadan – Menteri
Video yang mencetuskan kemarahan ramai tersebut memaparkan beberapa babak aksi mengghairahkan lakonannya bersama Siti Hariesa.
Antara babak yang membuatkan ramai ‘ternganga’ adalah aksi Zul mendukung Siti Hariesa seperti sedang berasmara secara berbogel.
Lebih panas, apabila ada adegan Hariesa menyuap ‘whipping cream’ ke mulut Zul dengan aksi mengghairahkan.
Perempuan Itu turut dibintangi aktres Mimi Lana dan pendatang baharu, Iqbal Zulkefli yang akan menemui penonton menerusi TV3 menjelang Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE