MISANO – Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano malam tadi.
Memulakan perlumbaan di petak kedua, pelumba kelahiran Itali itu menampilkan tunggangan mantap sepanjang 27 pusingan bagi memastikan kemenangan di laman sendiri.
Morbidelli mengakui, dia terbayang berlumba di litar tersebut ketika remaja pada tujuh tahun lalu dan dia langsung tidak menyangka mampu melakukannya dalam saingan sebenar MotoGP.
“Satu perasaan yang cukup hebat dan ia sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih kepada pasukan serta semua orang yang banyak membantu saya sebelum perlumbaan ini.
“Pada pusingan terakhir, saya mengenang kembali ketika berlumba di sini tujuh tahun lalu. Ketika itu saya menang, sama seperti hari ini (semalam) tetapi perasaan kali ini lebih hebat dan saya benar-benar tidak menyangka meraih kemenangan hari ini,” katanya sebaik menamatkan perlumbaan.
Mengiringi Morbidelli di podium adalah pelumba pasukan Pramac Racing, Francesco Bagnaia yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti pelumba Suzuki, Joan Mir di kedudukan ketiga.
Sementara itu, rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh pada pusingan ke-21 sekali gus terlepas kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia.