PUTRAJAYA – Jangkitan Covid-19 semalam merekodkan sebanyak 24,241 kes dengan 521 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 3,951,678 kes.
Dalam masa sama, sebanyak 26,615 kes sembuh sekali gus melepasi jangkitan baharu Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 3,623,068 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan semalam, sebanyak 185 kes kategori tiga, empat dan lima.
“Mengikut pecahan, kategori satu 9,801 kes (40.43 peratus), kategori dua 14,255 kes (58.81 peratus), kategori tiga 67 kes (0.28 peratus), kategori empat 65 kes (0.27 peratus) dan kategori lima 53 kes (0.21 peratus).
“Daripada 185 kes kategori tiga, empat dan lima, 60 kes (32.43 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 71 kes (38.38 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 54 kes (29.19 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 109 kes (58.92 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 84 kes (45.41 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (0.54 peratus) ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 383 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 222 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, data pada laman web CovidNow menunjukkan, 59 kematian direkodkan menjadikan sebanyak 34,244 kes manakala, 13 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah terkini BID sebanyak 7,176 kes. -KOSMO! ONLINE