KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan FC melaungkan amaran awal dalam usaha menjuarai kempen Liga Premier musim ini biarpun merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN pada saingan sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad The Red Warriors (TRW) kendalian Rezal Zambery Yahya membariskan kesebelasan terbaik dengan tonggak import, Kervens Belfort mengetuai jentera serangan.
Skuad Projek FAM-MSN yang masih segar dengan kejayaan bergaya dengan menewaskan Tok Janggut Warriors 5-1 pada aksi Piala FA, Selasa lepas turut membariskan kesebelasan dengan penyerang utama, Muhammad Haikal Sahar menjadi taruhan.
Pasukan pelawat dilihat tidak menunggu lama untuk mencipta beberapa peluang tetapi penyudah tumpul jentera serangan dilihat gagal menghukum kealpaan benteng pasukan skuad tuan kendalian Hasan Sazali Waras itu.
Melihat kebuntuan jentera serangan, Rezal mengambil keputusan untuk menambah sengat pasukan pada babak kedua dengan memasukan seorang lagi pemain import, Nixon Guilherme sejurus tamat separuh masa pertama.
Keputusan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Nixon tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-47 selepas menyudahkan hantaran Danial Hadri Effendi Jagan.
Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan TRW untuk menambah jaringan tetapi pujian wajar diberikan kepada skuad tuan rumah yang berjaya mengekang asakan lawan.
Malah, skuad Projek FAM-MSN yang dibarisi pemain bawah 19 tahun (B-19) turut mencipta peluang dengan serangan balas pantas tetapi terpaksa akur apabila keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kelantan FC kini gah mengungguli carta liga dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan. – KOSMO! ONLINE