ISTANBUL – Penyerang sensasi Barcelona, Pierre Emerick-Aubameyang mengakui puas apabila berjaya menjadi wira untuk membantu pasukan mara ke peringkat suku akhir dengan menyingkirkan Galatasaray pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, The Catalans telah bangkit daripada ketinggalan apabila pasukan tuan rumah menjaringkan gol menerusi Marcos Texeira sebelum mememangi perlawanan hasil ledakan Pedri dan Aubameyang untuk menamatkan saingan dengan agregat 2-1.
Bekas penyerang Arsenal itu percaya kerja keras yang dilakukan selama hampir dua bulan sejak berhijrah ke Camp Nou membuahkan hasil apabila berjaya merekodkan tujuh gol dalam tujuh perlawanan terakhir.
“Tiada rahsia mengenai prestasi saya ketika ini selain daripada bekerja keras pada sesi latihan dan fokus sepenuhnya untuk membantu pasukan. Namun, apa yang paling penting adalah saya sangat gembira untuk berada di Barcelona.
“Justeru, jika anda gembira dengan apa yang dilakukan, situasi sekarang ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan saya berazam untuk memastikan pasukan dapat mara sejauh mungkin pada kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali Barcelona, Xavi Hernandez memuji jaringan menarik yang dilakukan oleh Pedri selain percaya pemain berusia 20 tahun itu memiliki masa depan yang cukup cerah untuk menjadi salah seorang bintang bertaraf dunia.
“Jaringan yang Pedri lakukan itu sangat menarik kerana dia berjaya menggelecek pertahanan lawan dengan mudah. Saya percaya prestasinya akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya. – AGENSI