MANDALIKA – Pol Espargaro mengakui dia tidak kesal dengan tindakannya dengan membuat keputusan menyertai Repsol Honda pada musim lalu meskipun ramai meragui kemampuannya selepas meninggalkan pasukan Red Bull KTM.
Namun, Espargaro membuktikan pilihan itu tepat apabila dia mula mampu menjinakkan jentera RC213V selepas berjaya menaiki podium tempat ketiga pada perlumbaan pembukaan di Qatar baru-baru ini.
Kini, Espargaro melihat jentera buatan Jepun itu mampu ditawan dengan tunggangan berbeza sekali gus melaungkan amaran untuk melakukan terbaik menjelang saingan perlumbaan kedua di Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Mandalika.
“Apabila anda mempunyai dua pilihan, ketika itu anda perlu membuat keputusan terbaik. Jadi, dengan pilihan yang ada saya memilih yang terbaik. Tidak ada apa yang perlu saya kesalkan kerana saya memilih pasukan terbaik ketika itu.
“Saya memilih memberikan 100 peratus tumpuan kepada pasukan Repsol Honda dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan tunggangan yang sempurna. Saya yakin keputusan yang lebih baik mampu dicapai musim ini,” katanya.
Pelumba berusia 30 tahun dari Sepanyol itu dilihat mula mempamerkan tunggangan sempurna sebelum bermula saingan sebenar pada Ahad apabila mencatat sesi terpantas satu minit 33.499 saat (s) pada sesi latihan pertama pagi semalam.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Miguel Oliveira turut cemerlang apabila berada di kedudukan kedua terpantas dengan catatan satu minit 33.543s, manakala Marc Marquez (Honda) ketiga terpantas.
Sementara itu, juara dunia 2021, Fabio Quartararo (Yamaha) dilihat bergelut dengan jentera apabila kedudukan ke-16 dengan catatan satu minit 34.793s. – AGENSI