TEMERLOH – Dua beradik warga emas dari Kampung Mambang Berulang di sini terpaksa menumpang di balai raya sejak Januari lalu selepas rumah mereka musnah dalam kejadian banjir pada penghujung tahun lalu.
Jamaliah Kasim, 71, dan adiknya, Saadiah Kasim, 69, pasrah tinggal di Balai Raya Kampung Mambang Berulang kerana tidak mempunyai rumah lain untuk didiami.
“Kami berterima kasih kepada ketua kampung kerana membenarkan tinggal di sini walaupun tak selesa, tetapi lebih baik daripada tinggal dalam khemah.
“Kami amat berharap kerajaan Pahang agar dapat meluluskan Rumah Rakyat Pahang (RRP) sekurang-kurangnya mempunyai rumah untuk diduduki,” katanya kepada ketika ditemui di Kampung Mambang Berulang semalam.
Menurut Jamaliah, rumah pusaka mereka yang terletak satu kilometer dari balai raya tersebut hanyut beberapa meter dari tapak asal dan tersangkut pada pokok sawit daripada dibawa arus Sungai Semantan.
Jamaliah yang hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan merayu kerajaan mempercepatkan bantuan rumah untuk mereka.
Sementara itu, adiknya, Saadiah memberitahu, dia tidak pernah bekerja kerana memberikan komitmen menjaga ibu dan ayahnya yang uzur sebelum ini.
Dia memberitahu, kedudukan kampung Mambang Berulang yang sukar dihubungi kerana berada di seberang Sungai Semantan menjadi antara faktor dia dan kakaknya ‘ketinggalan’ menikmati hidup berkeluarga.
“Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan kini harapan kami ialah untuk memiliki rumah sendiri. Kami ada tanah tetapi lokasinya pula sering dilanda banjir saban tahun,” katanya.
Wanita itu merayu JKM menyalurkan bantuan bulanan kepadanya memandangkan perbelanjaan harian kini bergantung kepada pendapatan RM500 yang diterima kakaknya.
Ditanya sama ada mereka bersetuju ditawarkan ke rumah kebajikan, Saadiah berkata, dia tidak rela berpisah dengan kakaknya yang semakin uzur.
“Biarlah kami hidup seadanya. Kami biasa makan nasi tidak berlauk tetapi kami puas dapat hidup bersama bawah satu bumbung,” ujarnya.