PUTRAJAYA – Sekali pandang, tubuh dan perwatakan S. Kaviarasan adalah sama seperti orang lain, namun tidak ramai yang tahu bahawa bapa kepada enam cahaya mata ini sebenarnya menderita penyakit sawan.
Kaviarasan, 48, yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur berkata, dia mula diserang penyakit sawan ketika usianya 18 tahun.
Katanya, walaupun 30 tahun sudah berlalu, penyakit itu tidak pernah hilang, malah sering mengganggu urusan hariannya.
“Sebagai pengawal keselamatan, saya tidak boleh bekerja sehingga mengalami kepenatan melampau kerana dikhuatiri diserang sawan, namun itulah risiko yang perlu saya tanggung.
“Mustahil untuk tidak berasa penat apabila bekerja. Bagaimanapun, itu saja yang boleh saya lakukan kerana itulah satu-satunya mata pencarian kami.
“Selain penat bekerja, saya juga berisiko diserang sawan sekiranya tidak cukup tidur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Cheras baru-baru ini.
Menurut Kaviarasan, dia pernah diserang sawan ketika menunggang motosikal sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan terbabit dengan kemalangan.
Gara-gara kemalangan tersebut, dia koma selama dua minggu dan tidak dapat bergerak dengan sempurna selama sebulan.
“Biarpun berhadapan dengan risiko sawan, saya tetap bersyukur kerana majikan memahami keadaan saya,” katanya.
Ujarnya, dia kini bergantung kepada ubat-ubatan yang diperoleh dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mengawal penyakit itu.
Sementara itu, isterinya, T. Srivithya, 40, berkata, dia dan anaknya tidak lagi panik apabila suaminya itu diserang sawan.
“Setiap kali dia diserang sawan, kami akan pastikan ia reda terlebih dahulu sebelum menggerakkannya ke tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Kaviarasan di talian 017-304 6117 atau Srivithya (011-1215 4562).